Kisah Menarik Tok Ku Paloh
Siapakah Tok Ku Paloh dan apa yang anda perlu tahu tentang beliau?
Latar Belakang
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu.
Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan 1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi.
Ayahanda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Ketika meninggal dunia, beliau berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Keturunan Rasulullah SAW
Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW.
lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.
Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama.
Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayyid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayyid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayyid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan seorang dari empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.
Pendidikan
Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung.
Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.
Perjuangan Dakwah
Setelah Tok Ku Paloh pulang dari Mekah, beliau memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani.
Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.
Kontroversi Syahadat Tokku
Amalan Syahadat Tokku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.
Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau atas alasan yang batil dan fitnah.
Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita:
"Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tokku ini."
Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini.
"Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al-Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tokku. Selesai saya membaca semuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata: "Apa yang Tuan Haji baca itu ada pada saya".
"Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan Ratib Al-Hadad dan Syahadat Tokku. Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka oriang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira."
Begitulah peristiwa yang diceritakan oleh Haji Hussein.
Sehingga kini Haji Hussein terus mengamalkan Syahadat Tokku ini bersama-sama sahabat-sahabatnya, amalan yang pada setengah orang jahil dikatakan 'syahadat tambahan'.
Syahadat Tokku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Allah.
Ertinya (Dalam Tulisan Rumi)
Dan aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua yang kaya Ia daripada tiap-tiap yang lain daripada-Nya dan berkehendak oleh tiap-tiap yang lain itu kepada-Nya. Lagi yang bersifat Ia dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang maha suci Ia daripada segala kekurangan dan daripada barang yang terlintas Ia di dalam segala hati daripada barang yang tiada patut Ia bagi-Nya lagi tiada beristeri dan tiada anak dan tiada yang memperanakkan bagi-Nya. Dan tiada menyamai Ia pada zat-Nya dan sifat-Nya dan af’al-Nya akan seseorang maka Ialah Tuhan yang menjadi Ia akan segala makhluk yang ‘ulwi-Nya dan syufli-Nya lagi ketunggalan Ia pada mengadakan dan mentiadakan dengan kekerasan takluk qudrat dan iradat-Nya maka terserahlah segala kainat ini semuanya pada bawah perintah-Nya dan tiadalah jenis ‘itirat bagi seorang jua pun akan kehendak-Nya.
Dan aku ketahui dan aku iktiqad dengan hatiku dan aku nyatakan bagi yang lain daripadaku akan bahawa sungguhnya penghulu kita Nabi Muhammad anak Abdullah itu hamba Allah dan pesuruh-Nya kepada sekalian makhluk lagi sangat benar ia pada tiap-tiap barang yang ia khabarkan dengan dia daripada Tuhannya. Maka wajiblah atas tiap-tiap makhluk itu benar akan dia dan mengikut akan dia dan haram atas mereka itu mendusta akan dia atau menyalahi akan dia maka barang siapa yang mendusta ia akan dia maka orang itu zalim ia lagi kafir ia, dan barang siapa yang menyalahi ia akan dia maka orang itu derhaka ia lagi binasa ia. (Mula menadah doa) Mudah-mudahan memberi taufiq akan kita oleh Allah bagi sempurna mengikut akan dia dan mengurnia ia bagi kita akan sempurna berpegang dengan jalannya dan menjadi ia akan kita akan setengah daripada orang yang menghidup ia akan segala hukum syariat-Nya dan memati Ia akan kita atas keagamaan-Nya dan menghimpun Ia akan kita serta perhimpunannya. Demikian lagi segala yang memperanak akan kita dan ahli kita dan segala saudara kita dan yang kasih la akan kita dan segala sahabat kita daripada segala orang yang Muslimin. Amin.

Kegiatan Anti-Penjajah
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu.
Ada riwayat mengatakan Haji AbdurRahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah juga adalah murid Tok Ku Paloh.
Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya:
"Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.”
Mat Kilau Menguji Kepandaian Silat Tok Ku Paloh
Seperti apa yang dimaklumkan kepada Aki oleh salah seorang anak murid Tok Ku Paloh yang masih hidup sehingga tahun awal 90-an (Pok Leh) semasa beliau bertandang ke rumah Aki. Pahlawan Mat Kilau yang pernah berlindung di rumah Tok Ku Paloh pernah bermuzakarah perihal keagamaan dan persilatan.
Mat Kilau ingin mencuba kehebatan persilatan Tok Ku Paloh dan kedua-duanya bersetuju sambil berdiri memegang sebilah keris. Apabila saat memulakan langkah, tiba-tiba Tok Ku Paloh ghaib dari pandangan mata Mat Kilau. Secara tiba-tiba juga Tok Ku Paloh mengunci Mat Kilau dari belakang dan meletakkan kerisnya ke leher Mat Kilau.
Perlawanan silat mereka tamat dengan begitu pantas.
Keramat Tok Ku Paloh
Ada diceritakan bahawa apabila Inggeris cuba berunding meminta tanah dari Sultan Zainal Abidin, baginda menyuruh mereka berjumpa Tok Ku Paloh kerana katanya Terengganu ini ada tuannya. Maksudnya Tok Ku Paloh yang lebih berhak membuat keputusan.
Beberapa orang pegawai Inggeris telah pergi ke rumah wali Allah itu untuk berunding. Setelah mereka tiba, dengan sombongnya mereka tidak mahu duduk atas lantai. Oleh itu Tok Ku Paloh memberi kerusi untuk mereka duduk.
Dalam perbincangan tersebut, Tok Ku Paloh membenarkan pegawai Inggeris mengambil seberapa banyak tanah di Terengganu untuk dibawa pulang asalkan jangan ambil alih pemerintahan Terengganu. Pegawai-pegawai Inggeris yang marah dengan gurauan Tok Ku Paloh terus bangun. Akan tetapi punggung mereka telah melekat di kerusi.
Lalu Tok Ku Paloh memerli mereka: "Sudahlah tanah kita mahu diambil, kerusi kita pun mahu dibawa lari..."
Apabila Tok Ku Paloh tolong tarik kerusi barulah pegawai-pegawai Inggeris dapat pisahkan punggung mereka dari terus melekat. Kejadian lucu ini menyebabkan mereka sangat marah terhadap Tok Ku Paloh.
Dalam peristiwa lain pula, Inggeris mengajak Tok Ku Paloh berunding di atas kapal perang. Tujuan mereka adalah untuk mengugut secara halus dengan mempamerkan kekuatan angkatan laut mereka yang mampu membedil pantai di Terengganu. Taktik ini dipanggil "Gunboat Diplomacy".
Tok Ku Paloh cuma menyengetkan serbannya ke kiri lalu seluruh kapal perang laut Inggeris turut senget ke kiri. Kemudian Tok Ku Paloh sengetkan serbannya ke kanan lalu kapal tersebut ikut senget ke kanan pula. Kejadian ini menyebabkan Inggeris takut tetapi semakin marah terhadap Tok Ku Paloh.
Pada masa yang lain pula, mereka cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi melihat ia dijaga pahlawan-pahlawan Melayu siap bersenjata sejauh mata memandang. Ini menyebabkan mereka takut nak menjajah Terengganu selagi Tok Ku Paloh masih hidup.
Selepas beliau meninggal dunia, tepat pada 24 Mei 1919 barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
terima kasih atas perkongsian :)
ReplyDeleteSama-sama.
Delete