Siapakah Sarjan Hassan yang Sebenar?

Pernah tengok cerita Sarjan Hassan arahan P.Ramlee? Watak utama yang bernama Sarjan Hassan ni benar-benar wujud menurut anak lelakinya Mohammad Muhsin Hassan, 55.

"Sarjan Hassan yang digambarkan dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee memang wujud, cuma dia wira tidak didendang,” kata Mohamad Muhsin Hassan, anak kepada arwah Sarjan Hassan Othman yang pernah menentang komunis dan memperjuangkan kemerdekaan negara.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, watak Sarjan Hassan dalam cerita tu tak diceritakan sepenuhnya. Perkara ini diakui sendiri oleh anak perempuannya Noor Mazni, 55.

Noor Mazni berkata, bapanya terdorong untuk menyertai tentera kerana dendam terhadap pengganas komunis yang membunuh ahli keluarga termasuk isteri dan datuk di depan matanya.

“Bapa sanggup mengayuh basikal berbatu-batu jauhnya untuk belajar ilmu silat sebelum menyer­tai askar. Dia belajar dengan beberapa orang guru sebagai bekalan untuk membalas dendam terhadap kematian keluarganya,” katanya.

Nama sebenarnya Hassan bin Haji Othman. Beliau dilahirkan pada 15 Febuari 1927 dan merupakan anak ketiga dari lima orang adik-beradik. Tempat kelahirannya di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Noor Mazni, bapanya bermula sebagai rekrut pada tahun 1946. Bapanya ditugaskan di Batalion Pertama Askar Melayu Sungai Petani setelah tamat latihan di Depoh Port Dickson dan kemudian berpindah di Keroh, Baling, Gerik dan Tapah.

Menurutnya, banyak peristiwa yang pernah diceritakan bapa­nya memandangkan sepanjang berkhidmat dalam tentera, dia selalu ditugaskan di kawasan hitam dan sering bertempur dengan pengganas komunis.

Katanya, antara peristiwa itu ialah bapanya pernah membunuh 54 orang komunis dan menggagalkan cubaan pengganas yang mahu mensabotaj kemerdekaan negara kira-kira 10 hari sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Noor Mazni berkata, walaupun peristiwa itu tidak tercatat dalam sejarah negara, tetapi bapanya mahu ia dijadikan sebagai semangat kepada generasi hari ini untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang dicapai hasil pejuang terdahulu.

Selain dari berjumpa dengan keturunan Sarjan Hassan, tuan-tuan dan puan-puan boleh lihat atau baca sendiri kisah hidup Sarjan Hassan di Muzium Negeri Sembilan dan di Muzium Tentera Darat, Port Dickson. Sarjan Hassan bukan sahaja terkenal sebagai penentang komunis malah beliau seorang yang warak.

Berdasarkan sejarah hidup Sarjan Hassan yang dipamerkan di muzium ini, selepas beliau menamatkan latihan rekrut pada tarikh 10 Jun 1947, Sarjan Hassan terus menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.

Setelah itu, beliau telah dilantik menjadi Lans Koperal pada tarikh 28 April 1948. Kemudian beliau bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada tarikh 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat Koperal pada tarikh 24 Oktober 1950.

Kesungguhannya yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan membolehkan pejuang itu dinaikkan pangkat Sarjan pada tarikh 1 September 1952. Beliau terus mencurahkan bakti kepada Batalion Keempat yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.

Kompeninya ditugaskan untuk mengawal dan beroperasi di kawasan Triang, Pahang bermula pada tarikh 16 November 1953. Sarjan Hassan dilantik untuk mengetuai pasukan rondaan mengandungi sembilan anggota selepas menerima arahan daripada Pegawai Memerintah.

Satu daripada kisah keberaniannya adalah sewaktu beliau telah diarahkan untuk mengetuai pasukannya menyiasat tentang bunyi tembakan yang didengar dari arah barat daya satu kawasan hutan di Triang. Selepas satu jam meninggalkan pangkalan, peninjau kumpulan ronda mendengar bunyi pokok ditebang lantas Sarjan Hassan memerintahkan pasukannya merangkak ke hadapan dalam barisan menghala ke arah bunyi potongan pokok berkenaan.

Dalam jarak kira-kira 150 meter dari bunyi potongan itu, Allahyarham menghentikan pergerakan anggota ronda dan memerintahkan seorang pegawai tidak bertauliah dalam platunnya membentuk satu kedudukan serang hendap. Sarjan Hassan membawa seorang anggota berpangkat prebet mengikuti di sebelah kanan sasaran bagi membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati beberapa pengganas komunis sedang sibuk membuat persiapan untuk mendirikan khemah.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyerang pasukan pengganas berkenaan bersama anggota prebet terbabit dari arah strategik yang akan membolehkan pengganas ditawan atau ditembak oleh anggota pasukannya yang lain jika melarikan diri. Bagaimanapun, kehadiran beliau bersama prebet berkenaan disedari seorang pengganas yang terus mensasarkan laras senapangnya ke arah mereka tetapi Allahyarham lebih pantas melepaskan tembakan yang berjaya membunuh pengganas terbabit.

Seorang lagi pengganas komunis juga berjaya dibunuh oleh Sarjan Hassan. Dua orang lagi komunis melarikan diri ke arah kedudukan kumpulan serang hendap dan menerima nasib yang sama di tangan anggota kumpulan platun pimpinan Allahyarham.

Sarjan Hassan menunjukkan keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan menyerang perkhemahan pengganas walaupun hanya disertai seorang anggotanya. Kemahiran menggunakan senjata dengan baik memberikan kelebihan kepada beliau ketika berdepan saat cemas dan kecekapan itu berjaya menyelamatkan nyawa seorang anggota lain.

Kejayaan berkenaan dicapai melalui ketenangan dan kepantasan bertindak serta perhitungan muslihat yang tepat dan bijak di samping kemahirannya menguasai suasana hutan tebal yang cukup tinggi. Kelebihan itu membolehkan Sarjan Hassan mendedahkan semua empat pengganas yang ditemuinya dan menentukan mereka tidak terlepas daripada kumpulan rondaannya.

Sarjan Hassan disokong Pegawai Memerintah Batalion, Leftenan Kol EA Hefford dianugerahkan Military Medal (MM) pada 30 Disember 1953. Beliau menerima pengiktirafan itu apabila Ratu melalui London Gazette menganugerahkan MM kepada Sarjan Hassan pada 12 Mac 1954 yang disampaikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur.

Selain MM, Sarjan Hassan juga dianugerahkan General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada 1950 dan 1952 kerana keberaniannya ketika berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu menjalankan operasi.

Di atas kejayaan dan kecemerlangannya itu, beliau terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson mulai 10 Jun 1957 dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos tahun berkenaan. Allahyarham juga dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 selepas berkhidmat selama 16 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten.

Sarjan Hassan juga mempunyai kebolehan di dalam bidang penulisan. Beliau telah menulis skrip kisah perjuangan anggota tentera pada zaman darurat. Skrip ini telah dipentaskan dan ia berdasarkan kisah hidup Sarjan Hassan sebagai seorang tentera.

Drama pentas yang diarahkan oleh Sarjan Hassan mendapat sambutan sehinggakan ia mendapat liputan akhbar dan berjaya menarik minat P.Ramlee untuk menjadikannya sebuah filem.

P.Ramlee telah bertemu dengan Sarjan Hassan bagi mendapatkan persetujuan untuk menjadikan drama pentas tersebut kepada filem. Beliau bersetuju dan telah menerima bayaran sebanyak RM10,000 dari P.Ramlee.

RM10,000 pada zaman air teh secawan 10 sen tak sama dengan RM10,000 zaman air teh secawan RM2. Jumlah tu betul-betul besar.

Cuma skrip tersebut terpaksa diubah dengan tidak menceritakan perjuangan Sarjan Hassan menentang komunis sebaliknya menceritakan mengenai suasana Tanah Melayu ketika menghadapi penjajahan Jepun.

Tindakan P.Ramlee yang mengubah cerita asal ini bertujuan mengelakkan filem ini disabotaj oleh komunis. Ini kerana pada masa itu, Tanah Melayu masih berada dalam keadaan darurat dan diancam oleh komunis.

Hasil perkongsian hidup Sarjan Hassan dengan Aishah Bujang isteri hasil perkahwinan keduanya, mereka dikurniakan lapan cahaya mata. Empat orang lelaki dan empat orang perempuan. Isterinya dikatakan berasal dari Kampung Rasah yang dikahwini pada 20 Januari 1952.

Pejuang negara ini menghembuskan nafas terakhir pada 30 April 1991 akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan.

Antara anugerah lain yang diperoleh beliau ialah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).

Walaupun beliau menerima pangkat Kapten sebelum bersara tetapi beliau tetap dikenali sebagai Sarjan Hassan. Besar betul jasa Allahyarham Sarjan Hassan. Sepatutnya nama beliau dimasukkan ke dalam buku-buku teks sejarah sekolah-sekolah di Malaysia.

Wallahua'lam.

Source



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kalaulah Aku Owner TM Unifi..

Kenapa Negara Luar Suka Tiru Kita?